Suku empat 1997, masa-masa terakhirku di bangku sekolah rendah diluangkan dengan meminta kenalan menconteng alamat, nombor untuk berhubung serta pesan untukku. Ada satu pesan yang kuingat sampai kini. Dari seorang pekebun sekolah yang rapat denganku, pesannya berupa…

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Se-sungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni’mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni’mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

[Ibrahim : 7]

Walau cuma pekebun, pesannya itu sangat terkesan olehku. Kerna dia menyampaikan pesan-Nya. Ya, kutahu, aku bukanlah ahlinya tuk berbicara agama, namun soalnya, apakah kita mensyukuri apa kita punyai?

Konteksku mudah – menghargai orang lain. Yang telah membantu, yang mengkritik atau menyuntik semangat, yang menerima kita seadanya. Terimakasih itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk diluahkan. Ongkosnya pula cuma air liur, atau beberapa sen jikalau menggunakan Send Mesej Suda (SMS). Takut jatuhkah harga diri pabila menghargai orang? Aduhai.. Harga diri takkan terusik dek ucapan itu, sebaliknya akan mengundang senyum pada yang menerima.

Apakah pula kerana takkan menerima azab itu menjadi sebab untuk tidak menghargai orang lain?
Entahlah labu….